SIARAN AKHBAR - Acara Pelancaran TGMM Bersama Media

THE GREAT MALAYSIA MARATHON (TGMM) bakal diadakan pada 6hb Oktober 2019 di Persiaran Flora, Cyberjaya dan perlumbaan kedua di Johor Bahru yang akan diumumkan tarikhnya kelak. Perlumbaan maraton bersiri terbesar di Malaysia ini dianjurkan oleh Warisan Advertising Sdn Bhd dengan sokongan penuh dari Kementerian Belia & Sukan dan Majlis Perbandaran Sepang.

Acara ini turut mendapat tajaan daripada Volkswagen Passenger Cars Malaysia, Tripfez Travel, Inspire Travel, New Balance, Milo, Nestle Fitness, 100 plus, Salonpas, Garmin, Warisan Outdoor, Raqtive Sports Hijab, Sporteqa, Marathon Bakers, Cowa Coconut Water, AfterShokz, dan Hilly Socks selaku penaja rasmi.

Program larian bersiri ini disasarkan untuk memperluaskan siri penganjurannya ke seluruh negeri di Malaysia menjelang tahun 2020 bergantung kepada permintaan dan respon orang ramai. Antara negeri-negeri yang telah disasarkan adalah Perak, Terengganu, Sabah dan Kuala Lumpur.

Objektif program ini dianjurkan adalah untuk memberi galakkan, inspirasi, dan motivasi kepada orang ramai tanpa mengira umur dan latar belakang untuk meningkatkan tahap kesihatan mental dan fizikal, disamping menyatupadukan rakyat Malaysia melalui aktiviti sukan larian. Selain itu, menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020, program ini juga dapat menjadi platform mempromosikan negara Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang mempunyai pelbagai budaya dan tempat-tempat pelancongan yang terbaik kepada pelancong luar negara berikutan penyertaan acara ini turut terbuka kepada peserta antarabangsa.

Pada edisi pertama ini, penyertaan adalah dibahagi kepada empat kategori. Kategori pertama adalah 42km dalam jangkaan masa tujuh jam. Bagi kategori kedua pula, larian yang perlu dilakukan adalah sejauh 21km dalam masa empat jam. Kategori ketiga dan keempat pula, masing-masing perlu berlari sejauh 10km dan 5km.

Peserta yang ingin menyertai acara ini, yuran akan dikenakan adalah sebanyak RM99 bagi kategori 42km RM89 kategori 21km, RM69 bagi 10km dan RM59 bagi 5km. Sebuah kereta Volkswagen Polo 1.6L ditawarkan kepada peserta yang bertuah dan telah menyertai keseluruhan siri perlumbaan. Pemenang akan diumumkan pada peringkat akhir perlumbaan iaitu di Kuala Lumpur pada tahun hadapan.

Bersemperna sambutan Hari Pahlawan yang disambut pada setiap tahun, pihak penganjur turut berbesar hati untuk menyalurkan sebahagian kecil kutipan bagi setiap pembayaran penyertaan acara ini kepada Tabung Pahlawan. Semoga sumbangan ini sedikit sebanyak mampu membela nasib bekas perajurit negara yang pernah memeras keringat bagi mempertahankan kedaulatan negara suatu ketika dahulu.

Penyertaan boleh dilakukan secara atas talian melalui laman sesawang, www.thegreatmalaysiamarathon.com. Pihak penganjur turut menjemput dan mengalu- alukan kelab-kelab sukan dan rekreasi dalam kalangan syarikat swasta dan GLC begitu juga orang awam untuk turut serta menyertai dan menjayakan pertandingan ini.

Comments

Popular Posts